Bengkel Pembinaan Kurikulum Sijil Profesional Kepimpinan Wanita
Pada 30 Mac 2026, Pusat Kepimpinan Wanita Tun Fatimah Hashim dengan kerjasama Wanita Berdaya Selangor telah menganjurkan Bengkel Pembinaan Kurikulum Sijil Profesional Kepimpinan Wanita di Bangi Resort Hotel, Bangi. Inisiatif ini merupakan hasil kerjasama antara Universiti Kebangsaan Malaysia dan Wanita Berdaya Selangor dalam usaha berterusan memperkasa kepimpinan wanita melalui pendidikan dan pembangunan kapasiti.
Bengkel ini menghimpunkan barisan pakar, akademia dan penggiat industri dalam satu platform kolaboratif untuk berkongsi pandangan serta kepakaran melalui sesi perbincangan kumpulan yang dinamik. Hasil perbincangan tersebut menjadi asas kepada pembentukan struktur kurikulum, kandungan modul serta pendekatan terbaik, sekali gus menyumbang kepada pembangunan kurikulum yang lebih holistik dan berimpak tinggi dalam melahirkan pemimpin wanita yang kompeten, berdaya tahan serta relevan dengan keperluan semasa.
Semoga usaha ini menjadi pemangkin kepada lebih ramai wanita untuk melangkah ke hadapan sebagai pemimpin masa depan yang berwibawa dan inspiratif.
