每日大赛app

Laju Itu Pilihan, Risiko Itu Pasti: Harga Sebenar Memandu Laju

Oleh Prof. Dr. Ahmad Kamal Ariffin Bin Mohd Ihsan, Profesor di Jabatan Kejuruteraan Mekanikal dan Pembuatan, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina, Universiti Kebangsaan Malaysia.

Suatu pagi di lebuh raya, sebuah kereta memotong laju dari sebelah kanan. Dalam beberapa saat, kereta itu hilang dari pandangan. Kita mungkin bersangka baik: 鈥淐epat sampai.鈥 Namun, beberapa kilometer kemudian, trafik mula perlahan. Di bahu jalan, kelihatan kenderaan yang sama mengalami kemalangan kecil, tetapi cukup untuk menahan aliran panjang kenderaan di belakangnya. Situasi ini kerap berlaku dan ia mengingatkan kita bahawa had laju bukan sekadar angka pada papan tanda, tetapi garis panduan keselamatan yang dibina atas asas yang kukuh.

Menurut Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya Malaysia (MIROS) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Malaysia merekodkan sekitar 6,000 hingga 7,000 kematian akibat kemalangan jalan raya setiap tahun. Laporan rasmi juga menunjukkan bahawa faktor seperti kelajuan berlebihan, kecuaian, dan kegagalan mematuhi peraturan jalan raya merupakan antara penyumbang utama kepada kemalangan maut.

Di sebalik had laju, terdapat hakikat yang tidak boleh dielakkan iaitu hukum fizik. Apabila kelajuan meningkat, tenaga hentaman meningkat dengan ketara. Perubahan kecil pada kelajuan boleh membawa perbezaan besar dalam impak pelanggaran. Begitu juga dengan jarak membrek; semakin laju kenderaan, semakin panjang jarak yang diperlukan untuk berhenti dengan selamat. Dalam situasi kecemasan, perbezaan ini boleh menjadi penentu antara selamat dan sebaliknya.

Namun, keselamatan di jalan raya tidak hanya bergantung kepada hukum fizik ini. Ia juga bergantung kepada keupayaan manusia. Masa reaksi pemandu, walaupun dalam keadaan fokus, tetap terhad. Dalam satu hingga dua saat, kenderaan pada kelajuan tinggi boleh bergerak puluhan meter. Dalam tempoh yang singkat itu, pelbagai situasi boleh berlaku. Kenderaan di hadapan membrek secara mengejut, objek berada di laluan, atau perubahan pergerakan trafik yang tidak dijangka.

Jalan raya pula direka dengan parameter tertentu. Setiap selekoh, cerun dan jarak pandangan telah diambil kira oleh jurutera berdasarkan kelajuan yang sesuai. Apabila had ini dipatuhi, sistem jalan raya berfungsi secara optimum. Sebaliknya, apabila ia dilanggar, risiko kehilangan kawalan dan kemalangan meningkat.

Dalam masa yang sama, penting untuk memahami bahawa keselamatan bukan hanya tentang mengelakkan kelajuan tinggi. Perbezaan kelajuan yang terlalu besar antara kenderaan juga boleh meningkatkan risiko. Pemanduan yang terlalu perlahan boleh mengganggu aliran trafik dan menyebabkan pemandu lain mengambil tindakan seperti memotong secara mengejut. Oleh itu, had laju sebenarnya membantu mewujudkan keseimbangan dalam pergerakan trafik.

Satu lagi aspek yang sering menjadi perhatian ialah masa perjalanan. Ramai pemandu memilih untuk memandu lebih laju dengan harapan dapat sampai lebih awal. Namun dalam kebanyakan situasi, perbezaan masa yang diperoleh adalah kecil, selalunya hanya beberapa minit. Dalam perjalanan harian, kelebihan ini mudah hilang akibat lampu isyarat, kesesakan atau keadaan jalan yang tidak menentu.

Selain itu, kemalangan jalan raya juga memberi kesan kepada ramai pihak. Ia boleh menyebabkan kesesakan yang panjang, melibatkan pengguna jalan raya lain, dan memerlukan respons daripada pihak kecemasan seperti ambulans dan polis. Ini menunjukkan bahawa setiap tindakan di jalan raya bukan sahaja memberi kesan kepada individu, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan.

Kelajuan yang tinggi turut memberi kesan kepada penggunaan bahan api dan penyelenggaraan kenderaan. Kenderaan yang dipandu laju cenderung menggunakan lebih banyak bahan api, dan komponen seperti tayar serta sistem brek mengalami kehausan yang lebih cepat. Dalam jangka panjang, ini membawa kepada kos tambahan serta kesan terhadap alam sekitar.

Seiring dengan itu, pendekatan dasar seperti yang digalakkan oleh Kerajaan MADANI Malaysia melalui inisiatif Bekerja Dari Rumah (BDR) turut membuka ruang untuk mengurangkan kebergantungan terhadap perjalanan harian yang panjang dan tergesa-gesa. Dengan mengurangkan keperluan mobiliti yang tidak kritikal, tekanan untuk memandu laju dapat dikurangkan, sekali gus menyumbang kepada penjimatan tenaga, pengurangan pelepasan karbon, dan peningkatan kesejahteraan hidup secara keseluruhan.

Akhirnya, had laju wujud sebagai panduan untuk memastikan keseimbangan antara keselamatan, kelancaran trafik dan kecekapan perjalanan. Ia bukan bertujuan untuk menyekat, tetapi untuk melindungi. Dengan mematuhinya, kita bukan sahaja menjaga diri sendiri, tetapi juga menghormati keselamatan pengguna jalan raya yang lain.

Harapan kita, perkongsian seperti ini dapat dibaca, difahami dan diamalkan dalam kehidupan seharian. Keselamatan jalan raya adalah tanggungjawab bersama, dan setiap pemandu memainkan peranan penting dalam mewujudkan persekitaran yang lebih selamat untuk semua.

Leave a Reply