Oleh Khaulah Azwar Syahar Alam & Dr. Velan Kunjuraman (Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan)
Penggunaan teknologi digital kini menjadi nadi utama pembangunan ekonomi negara. Namun, bagi masyarakat desa, kemampuan untuk mengejar arus pendigitalan tidak semudah yang disangka kerana masyarakat desa masih berdepan kekangan asas seperti akses internet tidak stabil, infrastruktur lemah dan tahap literasi digital yang rendah. Transformasi digital Malaysia seharusnya menjadi pemangkin perubahan ekonomi luar bandar, namun jurang antara dasar yang diumumkan dan kesannya di lapangan masih terlalu besar. Walaupun pelbagai strategi seperti MyDigital, Dasar 4IR Negara dan program e-dagang desa diperkenalkan, pembangunan digital di desa masih bergerak perlahan dan tidak konsisten.
Hakikatnya, capaian internet luar bandar yang kini mencecah lebih 90 peratus tidak membawa makna besar jika liputan itu hanya cukup untuk penggunaan asas seperti WhatsApp dan penstriman rendah, tetapi tidak menyokong aktiviti ekonomi bernilai tinggi seperti e-dagang, automasi pertanian, pembelajaran digital mahupun transaksi kewangan berasaskan aplikasi. Infrastruktur jalur lebar yang tidak stabil, pusat internet desa yang tidak disenggara, kekurangan tenaga mahir, dan kebergantungan kepada projek jangka pendek menjadikan pendigitalan luar bandar sekadar penanda aras angka bukan penanda aras hasil.
Teknologi di desa bukan kekurangan potensi tetapi kekurangan dari segi ekosistem yang membolehkan teknologi diterjemah menjadi peningkatan pendapatan. Misalnya, apabila internet menjadi lambat setiap kali hujan, talian terputus setiap kali perlu memuat naik produk e-dagang, dan apabila Pusat Internet Desa hanya berfungsi sebagai bangunan kosong tanpa fasiliti, pendigitalan yang diuar-uarkan akhirnya gagal menyentuh akar ekonomi desa. Fokus perlulah terlebih dahulu menyelesaikan isu fundamental seperti kestabilan capaian, kebolehgunaan perkhidmatan, dan kemampanan fasiliti teknologi di desa.
Selain itu, segelintir usahawan luar bandar kurang menyedari kepentingan teknologi digital akibat tahap pendidikan dan pendedahan yang terhad. Jurang ini akhirnya mewujudkan ketidaksamaan sosial antara masyarakat bandar dan desa. Masyarakat bandar dapat bergerak pantas dalam ekonomi digital, manakala masyarakat desa terus bergelut dengan cabaran asas. Keadaan ini menjejaskan peluang ekonomi dan memberi kesan kepada kehidupan sosial komuniti desa.
Mereka yang tidak berpeluang menguasai teknologi mungkin berisiko terpinggir daripada arus pembangunan negara. Isu literasi digital yang masih berada pada tahap membimbangkan ini menyebabkan masyarakat desa pada hari ini mungkin memiliki telefon pintar dan lain-lain peranti moden tetapi tidak mampu menguasai teknologi sepenuhnya. Generasi muda yang dianggap 鈥渃elik digital鈥 sebenarnya hanya celik hiburan kerana mereka mahir dalam game, media sosial dan fungsi asas, tetapi tidak terlatih untuk mengasah kemahiran digital bercorakkan ekonomi seperti pemasaran dalam talian, pengurusan data, dan penjenamaan digital.
Kebanyakan usahawan desa yang telah lama menceburi bidang ekonomi desa pula memandang teknologi sebagai beban kos dan bukannya pelaburan strategik, disebabkan faktor kurang keyakinan, kekangan pendidikan dan ketiadaan latihan berterusan yang berkualiti. Program latihan digital kerajaan kebanyakannya sekali lalu, tanpa sistem sokongan jangka panjang. Apabila tiada bimbingan selepas latihan dilaksanakan, tiada pemantauan, tiada komuniti pembelajaran digital, dan tiada tokoh tempatan yang berperanan sebagai mentor, maka majoriti peserta kembali kepada cara lama. Akhirnya, hanya segelintir sahaja yang benar-benar meneruskan penggunaan platform digital dalam perniagaan, selebihnya kekal dalam perniagaan tradisional yang sukar berkembang.
Ketika bandar bergerak maju dengan kemodenanan seperti fintech, automasi, kecerdasan buatan (AI) dan inovasi industri dalam bidang ekonomi, komuniti desa masih bergelut untuk melaksanakan transformasi ekonomi. Keadaan ini bukan sahaja mengekalkan komuniti desa dalam 鈥渒elas ekonomi rendah鈥, malah mula membentuk 鈥渒elas digital bawahan鈥 di mana komuniti desa semakin tercicir daripada peluang pasaran moden. Tanpa literasi digital yang kukuh, teknologi hanyalah objek, bukan alat pembangunan untuk memajukan pembangunan ekonomi yang seimbang antara desa dan bandar.
Desa sebenarnya memiliki modal sosial yang kuat seperti jaringan komuniti rapat, saling kepercayaan, dan budaya kerjasama yang sepatutnya menjadikan adaptasi teknologi lebih mudah. Namun kekuatan ini tidak dimanfaatkan melalui model pelaksanaan yang sistematik. Pusat internet wajar dijadikan hab latihan berterusan, bukan sekadar projek perasmian. Bagi memastikan masyarakat desa tidak ketinggalan, tumpuan perlu diberikan dalam meningkatkan literasi digital, memperkukuh infrastruktur teknologi serta memanfaatkan modal sosial komuniti sebagai kekuatan.
Apabila penduduk desa mendapat latihan, peralatan dan peluang yang setara, barulah ekonomi digital dapat dinikmati secara keseluruhan. Golongan muda yang mahir digital wajar dilantik sebagai 鈥減enggerak teknologi desa鈥, bukan meletakkan kebergantungan terlalu tinggi terhadap institusi. Demi kemajuan bersama, masyarakat desa perlu diperkasa agar mereka bukan sahaja menjadi pengguna teknologi, tetapi juga peneraju dalam pembangunan digital masa depan.
Pengusaha kecil wajar dibimbing dengan menyediakan latihan berfokus, sokongan logistik, dan akses digital yang stabil. Selagi projek pendigitalan desa masih mengalami kelembapan dari segi fungsi dan keberkesanan serta infrastruktur masih tidak mencapai tahap yang mendorong transformasi ekonomi pada nilai tambah ekonomi, maka Malaysia akan terus membangunkan ekonomi digital yang tidak seimbang dan gagal mengangkat desa sebagai rakan strategik pembangunan ke arah ekonomi lestari.
Realiti kegagalan sistem yang sepatutnya menyokong perubahan boleh membantutkan perkembangan teknologi khususnya dalam membina ekonomi yang maju di desa. Masa depan ekonomi digital Malaysia bergantung kepada kemampuan negara membina ekosistem digital desa yang benar-benar berfungsi dan memastikan setiap isi rumah desa mampu mengubah teknologi menjadi peluang ekonomi yang nyata bukan sekadar melaporkan peratusan liputan internet.
